
Program Santuni Rakyat “Community Outreach” Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) bagi Daerah Pokok Sena telah berjaya dilaksanakan dengan menyantuni seramai 50 orang penerima yang terdiri daripada golongan yang memerlukan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 45 orang penerima telah menerima sumbangan di Pejabat Daerah Pokok Sena, manakala lima orang penerima lagi disantuni di kediaman masing-masing menerusi sesi ziarah bagi menyampaikan bantuan secara terus kepada penerima yang memerlukan perhatian khusus.
Setiap penerima menerima bakul makanan asas bernilai RM100 serta sumbangan tunai sebanyak RM150, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM250 bagi setiap penerima.
Program ini merupakan inisiatif tahunan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang diwujudkan hasil ilham dan titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah selaku Pengerusi TASK, dengan hasrat untuk mendekati masyarakat serta membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Kedah.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan dengan kehadiran Pegawai Daerah Pokok Sena, Encik Mohammad Hasbullah bin Abd Hadi, Pengurus Besar Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), Tuan Haji Azhan bin Abd Hamid; serta Pengerusi Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Encik Jamani Jamaludin.
Pihak TASK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga kerja Pejabat Daerah Pokok Sena, para Penghulu Mukim serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini.
Semoga inisiatif ini dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan serta memperluaskan manfaat kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan di seluruh Negeri Kedah.