Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi(B.Econ Hons.) Universiti Malaya (1980) dan Ijazah Sarjana Policy Science (M.PI.Sc) Saitama University, Japan (1989). Beliau Memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada tahun 1980 dan bersara wajib pada tahun 2018 sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Sepanjang 38 tahun dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri Kedah, telah bertugas di pelbagai bidang pentadbiran negeri meliputi pentadbiran daerah, pentadbiran tanah, pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), perancangan pembangunan ekonomi dan kewangan. Beliau Pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Daerah, Pentadbir Tanah Daerah, Setiausaha dan Yang DiPertua Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran serta Pegawai Kewangan Negeri Kedah.
Di samping itu, Beliau pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar dan Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah.
Selepas bersara wajib sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan kini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah berkhidmat sebagai Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja. Selain itu, Beliau kini juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan Naib Presiden 1 Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah.