Tabung Amanah Sultan Kedah

KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman

Baginda dilahirkan pada 30 April 1942 di Alor Setar, Kedah. Baginda adalah anak ke sembilan Almarhum Sultan Badlishah dan Almarhumah Sultanah Asma, puteri Sultan Terengganu. Baginda belajar di Sekolah Melayu Alor Merah dan Kolej Sultan Abdul Hamid. Baginda aktif dalam sukan dan persatuan semasa di kolej, dan turut terlibat dalam aktiviti berakit buluh pada tahun 1958.

Baginda berkahwin dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Tengku Ariff pada 26 November 1965, dan mereka dikurniakan dua putera: DYTM Tengku Sarafudin Badlishah (dilahirkan 2 Mac 1967) dan YTM Dato’ Tunku Shazuddin Ariff (dilahirkan 27 April 1970). DYTM Tengku Sarafudin berkahwin dengan DYTM Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, dan mereka dikurniakan seorang puteri dan seorang putera.

Selepas tamat Senior Cambridge, Baginda bekerja sebagai guru sementara pada tahun 1962 sebelum menjalani latihan ketenteraan di India Military Academy. Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan pada 12 Februari 1964 dan bertugas di pelbagai kawasan termasuk sempadan Thailand/Kelantan dan semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia. Baginda bersara pada 14 Februari 1974 dan kemudian menyertai pelbagai latihan serta kursus di dalam dan luar negara.

Baginda dilantik sebagai Tunku Temenggong Kedah pada 28 November 1981 dan sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada 13 Disember 2011. Baginda memegang jawatan ini sehingga 12 Disember 2016.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah ke-19 pada 15 Disember 2016, menggantikan Almarhum Tunku Abdul Malik yang mangkat pada 29 November 2015.

Pada 12 September 2017, Baginda diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29, menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sumber: Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah