Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah Darul Aman, dilahirkan pada 13 April 1949 di Kota Bharu, Kelantan. Baginda adalah anak ketiga daripada tujuh adik-beradik hasil perkahwinan YTM Tengku Sri Jaya DiRaja Tengku Ariff bin Tengku Long Abdul Rahman dengan Cik Puan Rokiah Sulaiman. Ayahanda Baginda adalah anak saudara kepada Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Negeri Kelantan ke-27. Semasa kecil, Baginda dibesarkan di persekitaran istana dengan penuh kasih sayang dan adat istiadat.
Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Saint Mary, Sentul dan meneruskan pelajaran di Sekolah Rendah dan Menengah Assunta, Petaling Jaya. Pada tahun 1960, keluarga Baginda berpindah ke Kota Bharu, Kelantan kerana Ayahanda Baginda bertugas sebagai Juruiring kepada Almarhum Sultan Yahya Petra. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Baginda melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah Sultanah Zainab. Baginda aktif dalam aktiviti sekolah termasuk hoki, perbahasan, dan menjadi Ketua Kelas serta Pengawas Sekolah. Pada usia 17 tahun, Baginda berkahwin dengan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 26 November 1965.
Selepas berkahwin, Baginda mengikuti Suami bertugas di beberapa lokasi seperti Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, Kem Tambun, Ipoh, dan Kem Kepala Batas, Alor Setar. Baginda aktif dalam Badan Kebajikan Isteri-Isteri Angkatan Tentera. Baginda dikurniakan dua anak: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah, Raja Muda Kedah Darul Aman, dan Yang Teramat Mulia Dato’ Tunku Shazuddin Ariff, Tunku Laksamana Kedah. Baginda juga memberikan sokongan penuh dalam pendidikan anak-anaknya yang berjaya dalam bidang undang-undang dan seni.
Baginda memulakan kerjaya di syarikat perkapalan pada tahun 1973 dan berkhidmat di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) hingga 1994. Kini, Baginda bertindak sebagai penasihat di Syarikat Inbaz dan Seri Libana. Selain daripada komitmennya dalam kerjaya, Baginda aktif dalam bidang pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar. Baginda dilantik sebagai Penaung program Computer And English Literacy (COMEL) yang bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah. Atas sumbangan Baginda, pelbagai darjah kebesaran telah dikurniakan kepada Baginda, termasuk Darjah Dato’ Seri DiRaja Kedah (D.S.D.K.), Darjah Seri Setia DiRaja Kedah (S.S.D.K.), Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (S.H.M.S.), dan Darjah Kerabat Kedah (D.K.).
Baginda juga memelihara kucing, gemar memasak, dan menghargai keindahan alam semula jadi serta pengembaraan ke luar negara. Baginda amat prihatin terhadap pendidikan rakyat Negeri Kedah dan komited dalam pelbagai usaha kebajikan.
Sumber: Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah