Tabung Amanah Sultan Kedah

PERUNTUKAN SEHINGGA RM100,000.00 UNTUK PROJEK KOMUNITI “TRAP, NEUTER, RELEASE” KAWAL POPULASI ANJING LIAR DI LANGKAWI

TABUNG AMANAH SULTAN KEDAH (TASK) BERSAMA NGO TNR LANGKAWI BANTU USAHA KOMUNITI KAWAL POPULASI ANJING LIAR DI LANGKAWI
 
Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) telah menyampaikan sumbangan peruntukan sehingga RM100,000 kepada NGO TNR Langkawi.
 
TNR Langkawi atau dikenali sebagai “Trap, Neuter, Release Langkawi” adalah sebuah projek komuniti yang bermula pada Oktober 2022 dengan kerjasama baik dari Majlis Perbandaran Bandar Pelancongan Langkawi dengan tujuan mengawal populasi anjing liar di pulau Langkawi. Sejak TNR bermula, TNR telah berjaya memandulkan lebih 400 anjing liar.
 
“Cek yang akan disampaikan bukan sahaja lambang sokongan kewangan, malahan juga titik perubahan bagi TNR Langkawi. Sumbangan ini akan meningkatkan keupayaan TNR untuk mengembangkan usaha kami dan mencapai lebih banyak kawasan yang memerlukan, dan akhirnya memberi impak yang mendalam dalam mengurangkan populasi anjing liar.”
 
Cek sumbangan telah disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Kedah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah TASK kepada Mohamed Naushaad Mohammed Sahriff, Setiausaha TNR Langkawi.
 
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Encik Mohamad Subhi Bin Abdullah, Pegawai Daerah Langkawi; Yang Berusaha Encik Mohd Hamri Bin Abidin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan dan Yang Berusaha Tuan Haji Azhan Abd Hamid, Pengurus Besar TASK.
 
Kerjasama antara TASK dan TNR adalah salah satu langkah ke arah mencapai matlamat besar untuk menjadikan Langkawi sebuah pulau yang bebas dari anjing liar (‘Stray Free Langkawi’).
 
TASK berharap sumbangan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih meluas dalam memastikan kelestarian projek ini. TASK juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada NGO TNR Langkawi atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memajukan inisiatif ini.
 
Semoga dengan sumbangan ini, TNR Langkawi dapat memperluaskan lagi usaha mereka ke kawasan-kawasan lain yang memerlukan, serta terus memperkukuhkan hasrat bersama untuk melihat Langkawi yang lebih aman, sejahtera, dan bebas daripada masalah haiwan terbiar.
 
     

Ikuti kami di media sosial: