Tabung Amanah Sultan Kedah

Duli Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin

Tunku Mahkota Kedah

Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff lahir pada 27 April 1970 di Alor Setar, Kedah. Baginda adalah anak bongsu dan putera kedua kepada Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha. Baginda juga cucunda kepada Sultan Badlishah dan Sultanah Asma. Baginda mempunyai seorang kekanda, DYTM Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff bersekolah di Sekolah Rendah Sri Petaling dan Sekolah Menengah Bukit Bintang sebelum melanjutkan pengajian di KDU University College. Baginda kemudian mendapat ijazah dalam bidang Reka Bentuk dan Pemasaran dari Kansas Wesleyan University, Amerika Syarikat.

Setelah tamat pengajian, Baginda bekerja di Los Angeles sebelum kembali ke Malaysia. Di Malaysia, Baginda berkhidmat di Johan Design Associates dan terlibat dalam projek besar seperti Petronas F1 dan Malaysia Airlines. Baginda juga bekerja di Hewlett Packard dan Keppel Group of Singapore. Pada tahun 2002, Baginda menubuhkan dua syarikat reka bentuk, Rethink Sdn Bhd dan Reka 3 Sdn Bhd, dan menjadi Pengarah Urusan Seri Libana Sdn Bhd.

Pada 26 November 2022, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff berkahwin dengan Che Puan Nur Julie Ariff (dahulu dikenali sebagai Julie Gwee Chai Hong), seorang mualaf dari keturunan Cina. Pada hari yang sama, Che Puan Nur Julie Ariff dianugerahkan gelaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah.

Tunku Shazuddin Ariff dianugerahkan gelaran Tunku Laksamana Kedah pada 26 November 2017 dan Tunku Mahkota Kedah pada 19 Jun 2022. Baginda juga telah dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin (SSSK) dan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK).

Baginda gemar menonton wayang dan terlibat dalam aktiviti lasak.

Sumber: Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah