5 Disember 2024, Kepala Batas – Misi Bantuan Pasca Banjir anjuran Majlis Belia Negeri Kedah (MBN Kedah) dengan kerjasama Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) telah berjaya dilaksanakan di Kampung Pasir, Mukim Naga, Kepala Batas. Program ini dihadiri hampir 200 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia.
Pelaksanaan misi ini tertumpu di beberapa lokasi pembersihan utama seperti Surau Kampung Padang Pasir, Surau Kampung Gelam, Tadika KEMAS Kampung Padang Pasir, serta rumah-rumah penduduk sekitar yang terjejas akibat banjir.
Antara pengisian utama program termasuk pemeriksaan pendawaian elektrik yang dijalankan oleh pelatih dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) bahagian elektrik. Selain itu, aktiviti gotong-royong memasak turut diadakan untuk menyediakan makanan yang diagihkan kepada penduduk terjejas dan sukarelawan.
Program ini turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Kampung Naga, Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Daerah Kubang Pasu, serta penduduk kampung sekitar yang memberikan sokongan padu terhadap usaha murni ini.