
30 April 2025, Sik, Kedah – 20 buah keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan bakul makanan dan keperluan asas daripada Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK).
Sempena Program Jelajah Santuni Rakyat, TASK dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Penghulu Mukim Sik, Mukim Sok dan Mukim Teloi telah menyampaikan sumbangan bakul makanan dan keperluan asas kepada 20 buah keluarga di Daerah Sik. Kedah sempena Program Jelajah Santuni Rakyat TASK.
Sumbangan ini disampaikan oleh Pengurus Besar TASK, Tuan Haji Azhan bin Abd Hamid bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat pelbagai cabaran kehidupan.
Setiap bakul makanan yang diterima mengandungi barangan keperluan asas yang penting termasuk barangan dapur seperti beras, minyak masak, dan gula, serta barangan basah seperti ayam segar dan sayur-sayuran.
Selain itu, sumbangan ini juga termasuk mainan untuk kanak-kanak, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam meraikan keceriaan dan kebahagiaan semasa menerima bantuan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen TASK untuk memperkasa dan menyokong komuniti yang memerlukan di Daerah Sik serta di daerah-daerah lain di Kedah. Dengan sumbangan seperti ini, TASK berharap untuk memberikan harapan dan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesulitan, serta untuk membangkitkan semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran hidup.
