Tabung Amanah Sultan Kedah

DYTM TUANKU RAJA MUDA KEDAH BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS ANUGERAH “MENJULANG ASPIRASI,MENJUNJUNG IMPIAN” ANJURAN KHTP SKILLS CENTRE

Ikuti kami di media sosial:

3 Ogos 2025 | Kulim – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah, telah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah “Menjulang Aspirasi, Menjunjung Impian” anjuran Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Skills Centre yang berlangsung di Grand Ballroom, Kulim Golf Club.

Majlis anugerah ini diadakan bagi meraikan kejayaan seramai 200 alumni pelatih yang telah menamatkan latihan kemahiran mereka bagi sesi 2024/2025, di bawah program latihan teknikal dan vokasional KHTP Skills Centre. Daripada jumlah tersebut, seramai 15 pelatih merupakan penerima tajaan penuh daripada Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), sekaligus mencerminkan impak positif program penajaan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.

Majlis penuh istiadat ini turut menyaksikan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah berkenan bertitah, merasmikan majlis, serta menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah; YBhg. Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Kedah; YBhg. Dato’ Mohd Sahil Zabidi, Pengerusi Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd; serta Tuan Azhan bin Abd Hamid, Pengerusi Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), di samping barisan dif kehormat yang lain.

Majlis ini bukan sekadar penghargaan terhadap usaha gigih para pelatih, malah turut mencerminkan komitmen berterusan KHTP Skills Centre dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri semasa, khususnya di Negeri Kedah. Sokongan padu daripada agensi-agensi kerajaan serta penaja seperti TASK menjadi bukti bahawa pendidikan dan latihan kemahiran merupakan elemen utama dalam membentuk generasi masa depan yang berdaya saing dan berkualiti tinggi.