Skip to main content

Tabung Amanah Sultan Kedah

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN PROGRAM TABUNG AMANAH SULTAN KEDAH (TASK) DAERAH KUBANG PASU

Ikuti kami di media sosial:

20 Oktober 2026 (Selasa) | Dewan Tunku Anum, Kubang Pasu

Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) telah meneruskan pelaksanaan Program Santuni Rakyat “Community Outreach” bagi Daerah Kubang Pasu menerusi majlis penyampaian sumbangan kepada seramai 150 orang penerima yang terdiri daripada golongan yang memerlukan.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah TASK, yang hadir menyampaikan sumbangan bagi pihak Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK). Turut hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Encik Junaidi bin Abdul Rani @ Abdul Ghani.

Bagi program kali ini, setiap penerima menerima sumbangan bernilai RM250 yang merangkumi bakul makanan asas bernilai RM100 dan bantuan tunai sebanyak RM150, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan sebanyak RM37,500. Pelaksanaan program ini merupakan usaha TASK untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan serta memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian.
Program Santuni Rakyat TASK merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan secara berperingkat dengan menyantuni satu daerah setiap bulan bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada golongan yang memerlukan di seluruh Negeri Kedah.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama Kesatuan Penghulu Negeri Kedah dan Pejabat Daerah Kubang Pasu dalam mengenal pasti penerima yang layak. Selain majlis penyampaian sumbangan, program turut diakhiri dengan sesi Ziarah Kasih ke dua buah rumah penerima sumbangan di sekitar Jitra.
Pihak TASK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini dapat terus memperluas manfaat kepada masyarakat, meringankan beban golongan yang memerlukan serta memperkukuh komitmen TASK dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah