Pasukan Briged Muzik Sekolah Kebangsaan Pendang yang dianggotai oleh murid-murid sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun terus melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya menyertai National Competition (NATCOMP) 2026 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penyertaan pasukan ini telah mendapat sokongan daripada Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) sebagai tanda komitmen dalam memperkasa bakat dan potensi anak-anak Kedah di peringkat lebih tinggi.
Hasil daripada usaha gigih, disiplin serta komitmen tinggi pasukan ini, mereka telah berjaya melayakkan diri untuk mewakili Malaysia ke Asian Music Game (AMG) 2026 peringkat antarabangsa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September 2026.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Sekolah Kebangsaan Pendang, malah turut membanggakan Negeri Kedah dan Malaysia di persada antarabangsa.
Semoga sokongan yang diberikan dapat menjadi pembakar semangat buat Pasukan Briged Muzik SK Pendang untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.