DYTM TUANKU RAJA MUDA KEDAH DAN DYTM TUANKU RAJA PUAN MUDA KEDAH BERANGKAT MELAWAT PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN HOSBA
“Mangsa banjir perlu mendengar arahan pihak berkuasa. Pindah segera jika perlu berpindah,” demikian titah Tuanku Raja Muda Kedah ketika melawat penduduk yang terjejas akibat banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Kedah perkenan bercemar duli melawat seramai 115 orang mangsa banjir yang terdiri daripada 55 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba sejak Khamis lalu akibat banjir selepas hujan lebat yang melanda negeri ini bermula 25 November lalu.
Dalam lawatan tersebut, Adzizah Kassim, 62, dari Kampung Padang Asun Luar Mukim Binjal di sini menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku berdua bercemar duli ke PPS ini. Beliau dan suami turut terharu di atas keprihatinan Baginda berdua yang turut bersimpati atas nasib yang menimpa rakyat.
Selain itu, Ahmad Hamid, 62, dari Kampung Tebing, Hosba, yang tinggal berdua bersama isterinya menzahirkan ucapan menjunjung kasih atas keberangkatan Baginda Tuanku berdua dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi berwajib sepanjang keberadaan mereka di PPS ini.
Dalam lawatan tersebut, Baginda berdua turut perkenan mengurniakan sumbangan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada ketua-ketua isi rumah yang masih berada di PPS serta menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS berkenaan sebelum berangkat pulang.