Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif, Tuanku Raja Puan Muda Kedah berangkat melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Bukit Hijau, Derang di sini, hari ini.
Keberangkatan Baginda Tuanku berdua disambut Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Yang Berhormat Dato’ Wira Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Kedah; Yang Berbahagia Dato’ Dr. Nadzman bin Mustaffa, Timbalan Setiausahan Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan); Yang Berusaha Dr. Ismuni bin Bohari, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah dan Yang Berusaha Encik Mohamad Rizal bin Mohamad Radzi, Pegawai Daerah Pokok Sena serta dif-dif kehormat yang lain.
Baginda Tuanku turut berkenan melawat penempatan sementara penduduk di bilik darjah serta mengurniakan sumbangan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada 46 ketua keluarga yang terjejas akibat banjir.
Baginda Tuanku berdua juga dibawa menaiki bot yang disediakan oleh pihak berkuasa untuk meninjau kawasan rumah penduduk setempat yang ditenggelami air sebelum meneruskan lawatan ke PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena.