Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) secara aktif bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) untuk memperkasa Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) melalui pelbagai inisiatif pendidikan khas.
Salah satu program utama adalah Program “Jom Jelajah Ilmu 2024” yang bertujuan untuk mengembangkan potensi dan kemahiran MBPK melalui pendekatan pendidikan yang menyeluruh dan inklusif. Dengan sokongan TASK, program Jom Jelajah Ilmu yang melibatkan 25 murid MBPK telah diadakan di KEDA Resort Bendang Man dan Kolej KEDA, Sik pada 9-10 September 2024.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah Program Bengkel Fabrik Kolej KEDA, Lawatan ke Bengkel-bengkel Kemahiran Kolej KEDA Sik, Job Profiling dan Bengkel Kesediaan Alam Kerjaya oleh PERKESO, Lawatan ke Bengkel Automotif, Lawatan ke Bengkel Kimpalan dan Taklimat Bidang TVET.
Kerjasama antara TASK dan JPNK memastikan bahawa MBPK bukan sahaja mendapat akses kepada pendidikan teknikal berkualiti, tetapi juga terdedah kepada peluang kebolehpasaran yang dapat membantu mereka berdaya saing dalam dunia pekerjaan.
TASK dan JPNK juga komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan pihak berkepentingan tentang keupayaan MBPK melalui program inklusif seperti ini. Kerjasama ini adalah langkah penting ke arah pembangunan modal insan MBPK yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga seimbang dari segi adab, akhlak, dan integriti.
Sijil Penyertaan Kepada Peserta disampaikan oleh Tuan Haji Ismail bin Othman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.